15.11.11

Berdoa Selepas Solat #1

{1}Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

{2}Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan sekalian alam iaitu puji-pujian yang melengkapi segala nikmat dan rahmat-Nya serta menarik akan kelebihan-Nya.

{3}Wahai Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji itu sebagaimana sepatutnya kerana kebesaran wajah-Mu Maha Suci Engkau, tiada dapat kami hendak menghinggakan puji-pujian kepada-Mu sebagaimana Engkau sendiri telah memuji akan diri-Mu. Bagi-Mu segala puji-pujian itu sebelum Engkau redha dan bagi-Mu juga segala puji-pujian itu sesudah Engkau redha dan bagi-Mulah juga segala puji-pujian itu yang berkekalan buat selama-lamanya.

{4}Wahai Tuhan kami! Terimalah sembahyang, doa dan semua amal ibadat kami serta tetapkanlah hati kami terhadap agama Islam dan urusan keimanan. Kasihkanlah ibu bapa kami serta semua orang Islam yang telah meninggal dunia.

{5}Wahai Allah wahai Tuhan yang memperkenankan segala doa orang-orang yang memohon, wahai Tuhan yang menerima taubat orang-orang yang bertaubat, wahai Tuhan yang bersifat belas kasihan terhadap orang-orang fakir miskin dan anak-anak yatim. Wahai Tuhan! Jadikanlah kami semua ini golongan orang-orang yang Engkau terima di sisi Engkau.

{6}Wahai Tuhan! Jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa mengingati Engkau, orang-orang yang tahu berterima kasih terhadap kurniaan nikmat-nikmat Engkau, orang-orang yang sabar apabila menerima dan menghadapi qadha' dan qadar serta bala bencana dari Engkau, orang-orang yang mendapat rezeki yang halal dari Engkau, orang-orang yang terpelihara daripada segala dosa, orang-orang yang dijauhkan dari siksaan api neraka. Kepada wajah Engkau serta wajah Nabi Engkau, dapat melihat kami dan menikmati.

{7}Ya Allah! Jadikanlah akhir ucapan kami dari dunia ketika akhir hayat (ajal) kami dengan ucapan: "Laaila-ha-illallah", matikanlah kami wahai Tuhan di dalam ucapan tersebut, tidak terfitnah, tidak sesat dan tidak menyesatkan.

{8}Wahai Tuhan! Jadikanlah kami golongan orang-orang yang memberi pimpinan/bimbingan yang baik (kepada orang-orang lain) serta mendapat petunjuk (dari Engkau), bukan orang-orang yang sesat (tidak mendapat petunjuk Engkau) dan bukan juga orang-orang yang menyesatkan (menyesatkan orang lain); jadikanlah kami di antara orang-orang yang terpilih yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka iaitu para nabi, para ahli kebenaran, para syahid dan para hamba Engkau yang soleh.

{9}Ya Allah! Kami memohon kepada Engkau akan jiwa yang tenang tenteram iaitu dengan meyakini bahawa pertemuan dengan Engkau itu tetap akan tiba serta merelai dengan segala ketetapan dan kurniaan Engkau.

{10}Ya Allah! Kami berlindung dengan Engkau daripada kesempitan hidup di dunia dan pada hari kiamat iaitu dengan limpah rahmat dan belas kasihan Engkau, wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

{11}Semoga Allah mencucuri dengan sepenuh-penuh rahmat dan kesejahteraan ke atas sebaik-baik makhluk-Nya iaitu junjungan kita/kami Muhammad s.a.w. serta semua ahli keluarganya dan para sahabatnya. Maha Suci Tuhan, Tuhan yang Maha Mulia daripada sifat-sifat rendah (hina) dan cemar yang mereka (orang-orang kafir) anggapkan, begitu juga semoga dicucuri dengan kesejahteraan ke atas segala rasul yang telah diutuskan oleh Tuhan; dan segala pujian itu bagi Allah, Tuhan sekalian alam.


Rujukan: Wirid dan Doa Selepas Sembahyang, susunan Ibnu Mahyuddin, Pustaka Ilmi

No comments:

Post a Comment