28.11.11

Menguasai Sempadan Hati dengan Zikrullah

"Asal hati itu putih dan bercahaya, ia sangat sensitif terhadap makanan yang halal dan haram. Untuk mengekalkan kekuatan jiwa, seseorang itu WAJIB menjaga sumber makanannya. Antara perkara yang pernah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah menjaga kesucian makanan.

Menjaga Kesucian Makanan

Sabda Nabi s.a.w., "Barangsiapa yang memakan makanan halal, maka bersihlah agamanya, lembutlah hatinya dan doa-doanya tidak akan terhijab."

Nah! Hati tidak akan tumbang disebabkan pistol atau senapang, ia juga tidak mampu dirobek dengan pisau dan kapak. Tetapi ia langsung tergeletak disebabkan makanan yang memasuki mulut anak adam. Kesilapan memilih yang haram, akan meyebabkan hati buta dan tempang. Sekali gus membinasakan iman dan memancarkan rasa berahi berbuat dosa.

Mengertilah, Muslim yang menjaga kualiti iman tidak sewenang-wenangnya membeli makanan di luar. Tidak terburu-buru menyuapi makanan yang diragui kesuciannya. Sama ada 'fast food' atau 'junk food', bagi mereka sama sahaja. Sekiranya tiada jaminan kesucian, maka menjauhinya itu amat dituntut.

Hati juga akan bercelaru apabila pandangan mata suka memesrai aurat dan pendengaran sering dijamu umpat. Apatah lagi jika lisan menabur dusta dan anggota suka berbuat zalim. Maka, iman akan lumpuh dan hati akan berkucah dosa. Dengan itu, wajiblah seseorang memelihara panca inderanya daripada diresapi elemen dosa, kerana semuanya akan sampai ke hati. Segala yang didengar, dipandang, disentuh dan dirasa, adalah makanan hati yang pasti memberi impak padanya. Jadi, jika yang meresapi itu dosa, ia akan menjadi racun. Lantas ingatan hamba kepada Allah menjadi sirna, dia segera lalai dan kalis melakukan maksiat.

Maka, untuk mengubati hati daripada merasa berahi terhadap dosa memerlukan konsistensi yang tinggi, iaitu mengelak makanan haram daripada memasuki perut dan mengelak panca indera daripada menerobos batas dosa. Dari situ, hati seorang hamba akan ingat kepada Allah setiap waktu. Lisannnya akan basah meratib zikrullah. Akhirnya, tidak akan tegar hati seorang hamba melakukan suatu kekejian, sekiranya dia amat meyakini bahawa Allah Maha Melihat perbuatannya. Tidak mungkin terjerumus ke kancah dosa besar bagi seorang hamba yang jiwanya dipenuhi dengan zikrullah.

Hanya yang melazimi istighfar, tasbih, tahmid dan takbir setiap masa akan mampu menjauhi dosa. Jangan sampai lidah kita kelu daripada mengungkap ucapan-ucapan zikir. Kerana sekali kita lalai, maka syaitan akan bertubi-tubi membelasah hati kita dengan hasutannya. Na'uzubillah."

[Ruangan Qalbun Salim oleh A. Ubaidullah Alias, GenQ isu 4]

No comments:

Post a Comment