24.11.11
Berhias Jangan Sampai Mengundang Dosa
"Islam sangat menggalakkan umatnya melangkah ke jinjang pelamin, namun sayang sekali seandainya hari bersejarah itu dicacatkan dengan mengundang dosa yang kita sendiri sedar namun tidak mampu menghindarinya," ungkap Puan Siti Hajar Jamil, pemilik Akademi Siti Salon di Seri Manjung Perak.
Pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia khidmat kecantikan membuahkan kesedaran kepadanya bahawa masyarakat Islam pada hari ini semakin jauh daripada andaman cara Islam. Malah konsep berhias dan bercantik-cantik yang dititikberatkan lebih merujuk kepada konsep andaman konvensional yang kebanyakan amalannya jelas melanggar syariat Allah.
Di antara amalan itu, menurut beliau, adalah mencukur kening, memakai bulu mata palsu, mengenakan solekan tebal dan menggayakan busana yang sendat serta tidak menepati syariat; hanya untuk kelihatan cantik.
Berlumba-lumba
Katanya, fenomena hari ini menyaksikan perancang perkahwinan berlumba-lumba memastikan majlis perkahwinan kelihatan gah sehingga sanggup mengenepikan syariat Islam.
"Kita sendiri tahu bahawa mencukur kening itu haram tetapi dalam andaman pengantin hari ini, mencukur kening merupakan sesuatu yang mesti atau dalam istilah lain 'wajib', kononnya bagi menaikkan seri pengantin. Malah lebih menyesatkan lagi apabila selesai mencukur kening, pengantin dipakaikan pula dengan bulu mata palsu," ujarnya yang memperjuangkan andaman secara Islam di dalam khidmatnya.
Beliau memetik maksud sepotong hadis, "Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan-perempuan yang yang minta dicukurkan alisnya." (Riwayat Bukhari)
"Berdasarkan pengalaman saya, bakal pengantin masih boleh kelihatan cantik tanpa mencukur bulu kening dan memakai buku mata palsu jika jurusolek itu bijak mengaplikasikan teknik solekan secara sederhana. Seri itu akan lebih terserlah apabila seseorang itu tidak mengenakan solekan tebal. Malah sebenarnya pemakaian bulu mata palsu hanya mengundang rasa tidak selesa kepada pengantin kerana ia agak berat."
Katanya, pengantin juga masih mampu tampil jelita dengan mengenakan busana yang tidak terlalu ketat dan sendat.
Utamakan Solat
Tambahnya, sebaiknya pengantin mengutamakan solat daripada bab berhias. Ini kerana kebiasaannya majlis kenduri akan berlarutan sehingga lewat petang.
"Jika pengantin sendiri mengenakan solekan tebal dan memakai bulu mata palsu, dikhuatiri menyulitkan mereka untuk mencuci serta menanggalkan gam pelekat bulu mata palsu itu. Pendek kata, pegantin sendiri perlu bijak menguruskan masa agar tidak terlepas waktu solat malah ibu bapa serta kaum keluarga perlu memainkan peranan untuk saling mengingatkan anak mereka untuk mengerjakan solat, bimbang mereka terlupa di dalam kesibukan melayan tetamu. Sangat membimbangkan jika perkara yang wajib seperti solat diabaikan semata-mata untuk tampil cantik pada hari bahagia," tuturnya.
Menurutnya, berdandan itu tidak salah jika pada dasarnya bertujuan untuk mencari keredhaan suami dan membuatnya bahagia. Ini kerana syurga seorang isteri terletak pada keredhaan suaminya. Namun betapa ruginya jika pengantin perempuan berhias secara keterlaluan dan mengenakan pakaian yang tidak mengikut syariat semata-mata sebagai tontonan kepada tetamu.
Peranan Jurusolek
"Jurusolek memainkan peranan yang sangat penting. Mereka seharusnya memberi informasi yang tepat kepada pengantin bagaimana cara menanggalkan solekan dengan sempurna kerana dikhuatiri sisa-sisa solekan masih tertinggal di wajah pengantin apabila mereka tergesa-gesa mencuci solekan bagi menunaikan solat," tegasnya.
Beliau turut mencadangkan kepada pengantin agar mengundurkan diri sementara waktu untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Bagi pengantin yang ingin mengadakan sesi fotografi di luar (outdoor) yang kebiasaannya memakan masa yang lama, mereka dinasihatkan agar mengorbankan sedikit wang untuk menggunakan dua kali khidmat jurusolek dan jurufoto.
"Apa salahnya kita korbankan wang untuk memelihara solat. Jangan disebabkan sayangkan solekan dan wang maka terpaksa meninggalkan solat. Jika kita ikhlas berkorban untuk agama, insya-Allah rumah tangga yang bakal didirikan akan diberkati Allah," luahnya.
Majalah ANIS, Bil. 172, Disember 2011, Ruangan Interview Fokus, m/s 22
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

so true.
ReplyDelete