26.10.11

Allah Tempat Bermohon

Sebaik-baik Tempat Bermohon

Penyerahan diri dengan sepenuh pengharapan atas pertolongan itu hanya datang daripada Allah. Pengetahuan manusia yang amat terbatas ini tidak dapat mentafsirkan masa depan yang bakal dilalui. Sebenar-benar tempat mengadu hanyalah kepada Allah yang Maha Mengetahui. Dia yang Maha Mengetahui segala keperluan kita dan kepayahan yang kita hadapi.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud,: "Seandainya kamu sekalian benar-benar bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kalian sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung. Burung itu keluar pada waktu pagi dengan perut kosong (lapar), dan pada waktu petang ia kembali dengan perut kenyang." (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Allah yang menjadikan kita sudah semestinya tahu tentang keperluan hamba-Nya. Kepercayaan kita mestilah dengan sepenuh keyakinan bahawa bantuan Allah itu atas kekuasaan Allah.

Allah Tempat Mengadu

Allah berfirman dalam Surah Yusuf ayat 86 yang bermaksud: Yakub berkata: "Sesungguhnya aku hanya adukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah, dan aku mengetahui dari Allah, apa yang kamu tidak ketahui."

Pengaduan yang terpuji adalah dengan mengadu kepada Allah. Menadah tangan dengan kaki bersimpuh, diiringi cucuran air mata taubat, pengakuan salah dan perasaan lemah dihadapan-Nya, seorang hamba mengadukan kesusahan yang menimpa dirinya kepada Yang Maha Penyayang seraya memohon kekuatan dan pertolongan-Nya. Keluhan seperti ini tidak mengurangkan nilai kesabaran. Hamba Allah yang paling penyabar juga melakukannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sesungguhnya segala kesusahan dan kesukaran dalam kehidupan yang sementara ini merupakan ujian daripada Allah untuk hamba-Nya. Insya-Allah, daripadanya kita datang dan kepadanya jualah tempat kita mengadu, mengeluh, meminta pertolongan dan dikembalikan...

1 comment: