Pernahkah kita semua memohon dan berdoa agar kita dimatikan dengan penutup atau pengakhiran yang baik (husnul khatimah)?. Banyak kitab atau hadis yang membicarakan tentang husnul khatimah ini. Berikut dinukilkan tanda-tanda mereka yang meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah seperti yang disebutkan dalam hadis-hadis. Antaranya:
1, Meninggal dengan sempat mengucapkan dua kalimah syahadah menjelang kematiannya. Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa yang akhir ucapannya Laa Ilaaha Illallaah, maka dia masuk syurga." - Hadis riwayat al-Hakim
2, Meninggal dalam keadaan berkeringat (berpeluh) di dahi (keningnya). Sabda Rasulullah s.a.w., "Bahawa matinya seseorang mukmin itu dengan keluarnya peluh di dahi." - Hadis riwayat oleh Ahmad dan Tarmizi, dari Buraidah bin al-Hasbib r.a.
3, Meninggal pada malam Jumaat atau siangnya. Sabda Rasulullah s.a.w., "Tidak seorang Muslim pun yang mati pada hari atau malam Jumaat melainkan Allah akan menjaganya dari fitnah (seksa) kubur." - Hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi
4, Mati syahid di medan jihad (perang) kerana membela agama Allah. Bagi orang yang mati syahid ada enam kelebihan:
i)Akan diampuni dengan serta merta dosanya serta diperlihatkan tempat duduknya di dalam syurga (kecuali mereka yang masih ada urusan hutang)
ii)Diselamatkan dari seksa kubur
iii)Aman dari ketakutan yang teramat besar dan dahsyat
iv)Diperhiasi dengan iman
v)Dikahwinkan dengan bidadari (semiskin-miskin bidadari ialah 49 bidadari)
vi)Dapat memberi syafaat kepada 70 orang keluarganya. - Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah
5, Meninggal sebagai tentera di jalan Allah.
6, Meninggal kerana melahirkan anak - Sahih Muslim
7, Meninggal semasa hamil atau di dalam masa nifasnya (wanita) iaitu meninggal kerana melahirkan anaknya. Diriwayatkan Imam Ahmad dan selainnya, dengan sanad yang sahih dari 'Ubadah bin ash Shamit r.a., sabda Rasulullah s.a.w., "Dan wanita yang dibunuh anaknya (kerana melahirkan) masuk golongan syahid, dan anak itu nanti akan menariknya dengan tali pusatnya ke syurga." - Riwayat Imam Ahmad dan At-Tabrani
8, Meninggal kerana penyakit kolera (taun). Sabda Rasulullah s.a.w., "Taun itu satu kematian syahid bagi setiap Mukmin. (Hendaklah ia sabar dan redha menanggungnya)." - Hadis riwayat oleh Muslim
9, Meninggal akibat sakit perut maka ia mati syahid. Sabda Rasulullah s.a.w., "Dan barang siapa mati kerana sakit perut maka ia mati syahid." - Sahih Muslim
10, Mati temggelam (lemas), tertimbus oleh bangunan atau runtuhan tanah. - Sahih Muslim
11, Meninggal dengan sebab terbakar. - Riwayat at-Tabrani
12, Meninggal dengan sebab sakit dzatul jambi (radang selaput dada). Rasulullah pernah menyebutkan bahawa orang yang mati syahid termasuklah orang yang mati terbakar. Demikian juga yang meninggal lantaran menderita radang selaput dada, iaitu bengkak yang meradang, nampak pada selaput yang ada di bahagian dalam tulang-tulang rusuk. -Hadis diriwayatkan Abu Daud dalam Sunannya
13, Meninggal kerana sakit batuk kering. Sabda Rasulullah s.a.w., "Orang yang mati kerana menanggung penyakit kurus kering dia mati syahid." - Hadis riwayat Tabrani
14, Meninggal akibat luka perang di jalan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya, "Barang siapa yang luka kerana perang di jalan Allah itu mati, maka bererti ia syahid atau kena pijak oleh unta atau kudanya atau mati di tempat tidurnya (setelah berperang itu) dengan sebab apa-apa pun yang dikehendaki oleh Allah, maka sesungguhnya dia adalah mati syahid dan akan masuk syurga." - Hadis Riwayat Daud
15, Meninggal ketika bersiap-siap untuk berperang di jalan Allah
16, Meninggal sebagai murabith (pasukan yang berada di daerah/wilayah perbatasan) di dalam perang di jalan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w., "Berjaga-jaga sehari semalam (di daerah perbatasan) lebih baik daripada puasa beserta solat malamnya selama satu bulan. Seandainya dia meninggal, maka pahala amalnya yang telah diperbuat akan terus mengalir dan akan diberikan rezeki baginya, dan ia terjaga dari fitnah."
17, Meninggal ketika sedang beramal soleh seperti sedang menuntut ilmu (ilmu yang dibolehkan oleh Islam) di masjid atau sedang berdakwah. Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa yang mengucapkan Laa ilaaha illallah kerana mencari wajah (pahala) Allah kemudian amalnya ditutup dengannya, maka dia masuk syurga. Barang siapa berpuasa kerana mencari wajah Allah kemudia amalnya diakhiri dengannya, maka dia masuk syurga. Barang siapa bersedekah kemudian itu menjadi amalan terakhirnya, maka ia masuk syurga." - Hadis riwayat Imam Ahmad dan selainnya
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seorang laki-laki berjalan di sebatang jalan lalu dia menemukan ranting berduri di tengah jalan maka disingkirkannya ranting itu dengan syukur kepada Allah Taala. Allah mengampuni dosanya kerana perbuatannya itu." Baginda bersabda pula, "Para syuhada (orang yang mati syahid) ada lima perkara:
i)Al-math'un: Orang yang tewas kerana penyakit kolera/taun (penyakit menular/wabak)
ii)Al-mabthun: Orang yang tewas kerana sakit perut atau melahirkan
iii)Orang yang tewas kerana tenggelam
iv)Orang yang tewas kerana ditimpa tanah longsor atau pohon tumbang dan sebagainya
v)Orang yang tewas dalam perang fi sabilillah." -Hadis Sahih Muslim
Marilah sama-sama kita muhasabah diri di atas segala dosa yang telah dilakukan. Sentiasalah beristighfar dan memohon kemapunan Allah s.w.t., mudah-mudahan penyudahan kehidupan kita dikurniakan Allah husnul khatimah. Tidak ada kebaikan lebih besar yang kita miliki melainkan mendapat husnul khatimah dan dimasukkan ke syurga di hari akhirat nanti...

No comments:
Post a Comment