Berpandukan hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.:
"Sesungguhnya bagi Allah Yang Maha Mulia seratus rahmat, maka daripadanya satu bahagian rahmat yang mana dengannya makhluk berkasih sayang sesama mereka di dunia, manakala baki sembilan puluh sembilan rahmat-Nya yang lain adalah untuk hari akhirat (kepada hamba-Nya yang beriman)." {Hadis Sahih, riwayat Bukhari dan Muslim}
Kita sering silau dengan suluhan kasih sesama insan. Di mana-mana kita mendengar orang menyanyikan lagu-lagu cinta. Kisah seperti Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet serta Uda dan Dara berlegar di layar hidup seharian pada skrin yang sangat besar dan jelas. Dengannya kita bernafas, merasai kepuasan dalam hidup dalam mencapai makna yang dalam. Diri rasa dipedulikan serta mendapat perhatian.
Alangkah indah punya teman bicara yang sering mengerti. Seseorang buat disandarkan bahu mengadu dan bermanja..menangis bersama serta berkongsi sedu dan sapu tangan. Punya seseorang di sisi buat melerai tawa menterjemah gembira melagukan ria. Apabila berpergian, dialah sebab kenapa kita kembali. Dialah paksi ingatan lalu rindu terpusat. Alangkah asyik mewarnakan sayang pada kanvas hidup ini.
Namun rupanya semua itu baru satu daripada seratus yang diperuntukkan Allah buat hamba-Nya ketika di dunia. Cuba bayangkan betapa indahnya hidup ini...namun sekali lagi diingatkan bahawa itu baru satu daripada seratus. Bahagian sembilan puluh sembilan ditambah, akan dianugerahkan kepada seseorang yang layak memasuki syurga Allah.
Syurga itu rupanya bukan hanya taman firdausi yang menjanjikan panorama terindah dengan sungai dan air yang mengalir, pasir dan istana dengan kilauan emas permata tetapi di sana ada rasa dalam gejolak cinta yang sangat manis di astakona hati. Hati ini tentu kelu untuk membayangkannya; rasa tentu terpinga-pinga untuk memahami bahasa emosi di sana!
Baru satu di sini kita telah rasa begitu selesa sehingga semua cerita adalah mengenainya. Di mana-mana manusia berpasangan dibelai rasa ini.
Bagaimanakah rasanya memiliki seratus kasih, seratus cinta dan seratus anugerah di syurga nanti? Alangkah indahnya...
Alangkah rugi bagi mereka yang mabuk kecubung dengan cinta yang satu di sini tetapi terkorban seratus cinta yang terindah di sana. Tidak berbaloi terfana dengan nikmat yang satu dan melepaskan nikmat cinta hakiki dengan mengikut bujukan hawa nafsu lalu cinta murni bertukar menjadi subjek noda dan objek dosa.
Setiap kedosaan itu muaranya adalah neraka jahanam, destinasi akhir kesengsaraan dengan alat dan pekakasan serba menyakitkan. Lebih memeritkan ia pusat kontang cinta dan gersang kasih sayang. Ia tempat yang tiada siapa memberikan perhatian, tiada siapa boleh memberi bahu untuk disandarkan dan berkongsi cerita...apatah lagi air mata. Lembah hitam apakah ini dan siapakah yang tega memilihnya?
Justeru, marilah memanfaatkan cinta demi cinta kepada-Nya dan cinta demi cinta di sana yang abadi...
[R&R Di Lebuh Raya Kehidupan, Zul Ramli M. Razali, m/s:203-205]
Mampukah diri ini?

No comments:
Post a Comment