24.5.11

Bercintalah kerana Allah, Berpisahlah kerana Allah

Cabaran masa kini ialah membina cinta suci. Kenapa? Sebab cinta suci semakin sukar ditemui lagi. Kini, cinta yang hodoh bersepah-sepah di mana-mana. Apa yang dipanggil cinta suci begitu terpinggir, seolah-olah tidak wujud lagi.

Usah sempitkan pemikiran cinta hanya pada manusia. Cinta suci yang sebenarnya adalah ALLAH, namun cinta ini kian berkurangan. Semakin hari-hari berlalu ia semakin longgar. Perasaan terlalu cenderung untuk menyintai manusia lebih dari segalanya, sedangkan cinta selain kepada Yang Maha Esa itu pasti padam dan tidak kekal.

Lihatlah bagaimana kita melakukan ibadah, apakah semakin bertambah ataupun semakin mengurang? Jika semakin mengurang itu tandanya kita semakin ketandusan cinta suci. Cinta yang wujud dalam diri kita secara semulajadi itu telah dicemari hingga ia tidak tertumpah pada yang sebenar-benarnya berhak.

Cinta adalah suatu perasaan yang sedia ada dalam setiap jiwa. Cinta ini perlu dipupuk lalu dibentuk mengikut acuan yang sebenar sebagaimana sepatutnya. Jika tiada acuan diberikan, lahirlah cinta sumbang lagi memualkan.

Cintai ALLAH, hidup menjadi indah. Cintai manusia tidak semestinya hidup menjadi selesa dan bahagia. Jika pun harus bercinta dengan manusia, jadikan cinta kepada manusia itu untuk menuju kecintaan abadi dan suci terhadap ALLAH. Mereka yang tekun beribadah akhirnya akan dapat kesimpulan makna cinta sebenarnya, sebaliknya mereka yang mengabailan kecintaan terhadap ALLAH akan berakhir sebagai mangsa cinta yang sememangnya tidak bersih.

Cintailah seseorang yang anda cintai itu sedanya sahaja semasa di alam percintaan. Nanti setelah bergelar suami dan isteri, bercintalah sesungguhnya. Cintailah dia kerana ALLAH, tindakan anda akan menjadi betul. Anda akan lebih bijaksana menjalani hidup, moga-moga keputusan menjadi lebih tepat. Setiap keputusan yang tepat bermakna jaya dan bahagia.

Ketika umur belum melangkaui puluhan tahun, batas-batasilah diri tatkala bercinta, sebab cinta pada waktu ini selalunya bukanlah matang. Ia lebih pada ledakan nafsu dan keinginan untuk memiliki, namun rasa untuk bertanggungjawab atas ledakan nafsu dan keinginan memiliki itu masih agak lemah, malah hampir tiada. Seseorang remaja boleh sahaja bermodalkan cinta untuk menawan hati pasangannya, tetapi untuk bertanggungjawab akibat dari hambatan cinta itu selalunya amat sedikit malah boleh dikatakan hampir tiada.

Secara semulajadinya manusia, apabila usianya merangkak pergi, kematangan turut mengambil tempat. Kedewasaan selalunya berjalan seiring dengan meningkatnya usia. Sekiranya tidak? Sekiranya tidak, nyata seseorang itu telah gagal mendidik diri sendiri pada alam kedewasaan, sebab bukankah setiap detik adalah usia yang semakin meningkat? bermakna tempoh hayat yang semakin pendek? Ini adalah sekolah kehidupan, ia selalu mendewasakan manusia. Mereka yang tidak pandai-pandai ataupun tidak matang oleh sekolah kehidupan ini selalunya gagal memahami cinta suci, apa lagi menikmatinya.

Bercintalah kerana ALLAH, bila mana kamu melihat dia mencintai ALLAH, kamu suka peribadi dan akhlaknya yang cintakan ALLAH itu, maka kamu yakin dia boleh menjadi kekasih yang dapat membimbing kamu bertemu kekasihmu yang sejati, ALLAH TA'ALA.

Berpisahlah kerana ALLAH, bila mana kamu rela meninggalkan dirinya kerana sayangnya kamu kepada ALLAH, kamu enggan berbuat maksiat kerana malu pada ALLAH, di saat itu kamu rasa berbaloi tinggalkan si dia.


Cinta perlu dilalui dengan kebijaksanaan. Hanya orang yang bijak akan merasai betapa sucinya cinta, tetapi untuk sampai merasai betapa sucinya cinta itu, seseorang perlu membangkitkan rasa cinta sucinya kepada ALLAH, ketika itulah dia dikatakn bijak.

[CINTA segi LIMA, H.M TUAH ISKANDAR]

1 comment: