31.5.11

Ada Apa dengan Jodoh?

Eddie Rosyadie di dalam bukunya Cinta, Jodoh dan Perkahwinan ada menceritakan hal yang berkaitan dengan jodoh. Mengapa ada antara kita yang mudah dan cepat bertemu jodoh? Namun, ada juga yang sukar dan lambat mendapat jodoh. Apapun jawapannya, persoalan daripada beberapa tanggapan ini perlu dijawab.

Benarkah jodoh adalah noktah kepada sebuah perhubungan?
Jodoh sebenarnya permulaan bagi sesebuah perhubungan. Pelayaran sebuah bahtera perkahwianan sudah pasti ada pasang surutnya. Oleh itu, setiap pasangan perlu memahami serta memainkan peranan masing-masing dalam mengemudi bahtera perkahwinan mereka.

Benarkah jodoh adalah kemuncak kepada kebahagiaan?
Apabila cinta antara sepasang kekasih bersatu dengan ikatan perkahwinan, mereka beranggapan yang mereka mempunyai jodoh dan dapat menikmati kebahagiaan yang berpanjangan dan buat selama-lamanya. Hakikatnya, bahagia dalam sesebuah rumah tangga perlu sentiasa disemai dan dibaja. Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan daripada kedua-dua belah pihak sama ada daripada suami mahupun isteri.

Benarkah jodoh datang dengan sendirinya?
Jodoh tidak datang tanpa ada tindakan ataupun usaha bagi mendapatkannya. Kita bertemu dan berinteraksi dengan ramai orang dalam kehidupan bermasyarakat. Pertemuan dengan beberapa individu memungkinkan bertemunya jodoh dengan salah seorang daripada mereka. Oleh itu, luaskan pergaulan, ramaikan kenalan tetapi masih lagi menjaga batasan.

Benarkah jodoh hanya datang sekali sahaja?
Setiap insan mahukan jodoh yang berpanjangan dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Namun, tidak mustahil bagi bertemu jodoh lebih dari sekali. Mereka yang mempunyai cinta yang jujur dan sejati serta setia dan reda kepada pasangannya sentiasa berusaha memastikan jodoh mereka kekal sehingga ke akhirnya. Semuanya bergantung pada individu itu sendiri sama ada mahu mengekalkan jodoh mereka ataupun tidak.

Apa Itu Jodoh?
Jodoh menurut Kamus Dewan ialah pasangan hidup ataupun pertemuan gadis dan teruna yang menghasilkan perkahwinan.

Adakah cinta diperlukan dalam mencari jodoh ataupun jodoh diperlukan dalam mencari cinta? Banyak orang yang beranggapan apabila adanya cinta, sudah pasti adanya jodoh.

Hakikatnya, cinta dan jodoh adalah ddua perkara yang berbeza sama sekali tetapi mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Cinta adalah salah satu elemen emosi atau perasaan yang lahir bagi mengasihi dan menyayangi, sedangkan jodoh adalah pertemuan dan perjanjian antara lelaki dan perempuan supaya saling menerima dan memberi.

Bahkan jodoh adalah titik permulaan bagi mendapatkan sebuah cinta yang sejati. Persetujuan dan penerimaan antara lelaki dan perempuan untuk saling menerima dan memberi. Ia merujuk pada keadaan pasangan yang saling bersedia menerima dan memberi cinta dan komitmen dalam perhubungan sebagai suami isteri.

Jodoh memerlukan langkah-langkah yang proaktif daripada kita bagi mendapatkannya. 3B dalam pencarian jodoh:

1. Berikhtiar
Berikhtiar bermakna kita berusaha mencari sama ada dengan usaha kita sendiri ataupun dengan bantuan orang tengah. Apabila bertemu dengan seseorang yang menimbulkan minat kita kepada dirinya, kita perlu mengambil tindakan seterusnya.

Ciri-ciri pasangan hidup yang dicari perlu diletakkan kriteria seperti yang disarankan oleh Rasulullah, usah terlalu memilih dan mencari yang paling sempurna. Sekiranya kesempurnaan yang dicari, kita tidak mungkin dapat menjangkakan sebarang kekurangan yang ada pada pasangan kita. Kelak apabila kita menerima seseorang sebagai pasangan hidup kita, hanya kekurangannya sahaja yang kita nampak kerana sejak awal lagi kita sudah mendambakan kesempurnaan yang ada pada dirinya.

Kita hanya manusia biasa. Setiap insan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihan dirinya adalah pelengkap kepada kekurangan diri kita dan kelebihan diri kita adalah pelengkap kepada kekurangan dirinya. Bukankah suami isteri itu saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain?

2. Berdoa

Menunaikan solat istikharah adalah digalakkan semasa dalam proses memilih calon yang terbaik. Hakikatnya, Allah yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Kita perlu reda dengan 'pilihan Allah'. Elakkan sikap berat sebelah seolah-olah meminta dan memaksa Allah membuat pilihan untuk kita. Fahami konsep istikharah yang sebenar.

Kita perlu berdoa supaya dapat disatukan dengan calon yang ditemui melalui sebuah ikatan perkahwinan yang sah. Ini kerana Allah sahaja yang dapat 'membenarkan' sesuatu perkara itu terjadi.

3. Bertindak
Apabila kedua-dua pasangan bersetuju bagi menerima dan memberi cinta serta komitmen kepada sebuah ikatan yang suci, proses seterusnya adalah merealisasikannya.

Perkahwinan dapat direalisasikan dengan adanya proses disatukan mengikut agama, adat serta budaya masyarakat setempat seperti bertunang dan walimah.

Dalam erti kata lain, dalam mendapatkan jodoh, ia memerlukan kita mencari, memohon kepada Allah dan mendapatkan persetujuan antara satu sama lain supaya saling menerima dan memberi cinta serta komitmen dalam rumah tangga bagi menuju bahagia bersama-sama.

No comments:

Post a Comment