15.1.11

Perbezaan Perbankan Islam dan Konvensional

Menurut Ust. Zaharuddin Abd Rahman,

Masih ramai yang belum dapat memahami sepenuhnya perbezaan di antara produk dan perkhidmatan perbankan Islam dengan perbankan konvensional [termasuklah saye sendiri].
Masih ramai lagi yang menuding jari mengatakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam adalah tidak Islam, hanya solekan dan cerminan produk konvensional.
Ada juga yang yang mendakwa perbankan Islam hanya menukar sebutan 'interest' atau 'faedah' kepada nama-nama seperti kadar untung, 'Ujr' atau upah, dan lain-lain istilah di dalam bahasa Arab yang dilihat oleh pihak pendakwa sebagai helah sahaja.

Kenyataan umum sedemikian tidak sepatutnya dibuat tanpa mengetahui selok-belok dan operasi setiap bank Islam dengan baik dan jelas kerana kenyataan sebegini hanya akan melambatkan proses kebangkitan dan kemajuan industri perbankan Islam.
Kita memang akui terdapat masalah-masalah implementasi dan lain-lain dalam perbankan Islam. Walau bagaimanapun bagi saya, ia adalah keadaan biasa bagi menuju ke arah kesempurnaan perbankan Islam. Semua pihak sama ada ilmuan Syariah, peguam, hakim, pelanggan dan kakitangan bank Islam masih dalam proses pembelajaran yang beransur-ansur.
Memang tidak dinafikan akan berlaku kesilapan di sana sini semasa proses sebegini.

Perbankan Islam masih dalam proses pematangan dan penyempurnaan. Justeru dalam proses itu, sudah pasti ada kekurangan yang berlaku. Bagaimanapun, kekurangan ini tidak menjadikannya haram dan batal seperti juga seorang yang baru masuk Islam dan tidak solat lima waktu kerana masih dalam proses pemahaman dan peningkatan.
Ia termasuk dalam kategori dimaafkan. Yang penting proses itu ke depan (iaitu semakin baik) dan bukan ke belakang.

Sebahagiannya pula disebabkan kekurangan ilmu pegawai-pegawai yang bertugas. Ia mungkin menyebabkan kesilapan persepsi orang ramai terhadap bank Islam.

Saye akan menggunakan singkatan PI-Perbankan Islam dan PK-Perbankan Konvensional untuk perbandingan di bawah:

PK: Fungsi dan operasinya didasari sepenuhnya oleh prinsip dan disiplin yang dibuat oleh akal manusia "man made principles"
PI: Fungsi dan operasinya dipastikan sedaya mungkin agar dapat menurut kehendak Al-Quran dan As-Sunnah

PK: Dalam produk pelaburannya, pelabur dijanjikan dengan kadar faedah tetap. Ia sebenarnya aktiviti pinjam-meminjam dengan riba.
PI: Dalam produk pelaburannya, bank Islam mempromosikan sistem perkongsian risiko dan untung antara pelabur dan pengurus dana pelaburan. Tiada sebarang kadar keuntungan tetap dijanjikan. keuntungan akan dibahagikan berdasarkan keuntungan sebenar.

PK: Mensasarkan keuntungan tanpa sebarang had batasan agama dan moral.
PI: Mensasarkan keuntungan yang menepati disiplin Islam yang terhad kepada sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat sejagat.

PK: Tidak mengendahkan persoalan zakat.
PI: Terlibat dalam pembayaran zakat, ia merupakan tanggungjawab sosial yang diberikan oleh bank-bank Islam.

PK: Produk pinjaman penggunanya mengamalkan sistem pemberian pinjaman wang kepada pelanggan dengan dikenakan faedah(interest) yang berganda.
PI: Produk penggunanya menggunakan transaksi jual beli atau sewa aset dan bukan akad pinjaman wang.

PK: Mengenakan tambahan wang penalti yang compounding di atas wang pinjaman sekiranya terdapat kelewatan pembayaran.
PI: Mengenakan wang compensation ke atas kelewatan tetapi tidak dimasukkan di dalam pendapatan bank, sebaliknya disalurkan terus kepada kebajikan.

PK: Kepentingan utama hanyalah menjaga kepentingan bank, tiada sebarang kepentingan untuk memastikan pembangunan ekuiti.
PI: Memberikan penekanan kepada projek yang boleh memberikan manfaat kepada kepentingan masyarakat. Sasaran utama adalah memastikan pembangunan beserta ekuiti.

PK: Pemberian pinjaman oleh bank konvensional adalah mudah, tanpa memerlukan sebarang aset. Konsep mereka, wang boleh melahirkan wang.
PI: Wang tidak boleh melahirkan wang melalui pinjaman. Justeru itu, sebarang pembiayaan mestilah mempunyai aset yang dikenal pasti (underlying asset).

PK: Penilaian besar diberikan kepada kemampuan peminjam untuk membayar pinjaman sahaja, tanpa mengendahkan berkenaan apa yang berlaku dengan sesuatu projek yang dilakukan oleh pelanggan.
PI: Penilaian besar juga diberikan terhadap potensi atau viability, prestasi dan prospek projek yang sedang dibiayai.

PK: Bank mendapat pendapatan melalui kadar tetap faedah (fixed interest) yang dikenakan kepada pelanggan.
PI: Memperoleh pendapatan mengikut konsep untung dan rugi bersama pelanggan, pihak bank memberi perhatian lebih kepada membiayai perkembangan projek.

PK: Hubungan bank dan pelanggan adalah; pemberi pinjam dan peminjam
PI: Hubungan bank dan pelanggan; penjual, pembeli atau rakan kongsi

Wallahua'lam...

Sumber: Wang, Anda & Islam, Bab 6: Perbezaan Perbankan Islam dan Konvensional (m/s 67)

No comments:

Post a Comment