Sabar dan Syukur saling berkait.
Imam Ghazali Rahimallahu Ta'ala berkata, "Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa iman itu dua bahagian. Satu bahagian sabar dan satu bahagian lagi syukur."
Iman dinamakan ke atas himpunan kedua-dua sabar dan syukur, kerana kelakuan manusia itu kadang-kadang mendatangkan mudharat di dunia dan di akhirat dan kadang-kadang pula mendatangkan manfaat di dunia dan di akhirat. Adalah dikehendaki apabila ditimpa sesuatu mudharat supaya bersabar dan apabila memperolehi sesuatu manfaat supaya bersyukur.
Mengenai kelebihan sabar dan kelebihannya; Al-Quran telah menyebutkan mengenainya di 90 tempat. Ia juga disebutkan oleh hadis-hadis Nabi s.a.w. dan atsar para Sahabat Nabi dan Tabi'in serta para Ulama. Antaranya ialah:
1. "Sesungguhnya Kami membalas orang-orang yang sabar itu dengan pahala mereka lebih baik daripada amalan yang mereka lakukan." {Surah An-Nahl:96}
2. "Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu disempurnakan pahala mereka tanpa dapat dikira banyaknya." {Surah Az-Zumar:10}
3. Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak diberikan sesorang itu pemberian yang lebih baik dan luas daripada sabar." {Riwayat Bukhari dan Muslim}
4. Nabi s.a.w. telah ditanya mengenai kesempurnaan iman dan Baginda s.a.w. telah menjawab dengan sabdanya, "Kesempurnaan iman itu ialah sabar dan baik hati atau memaafkan kesalahn manusia."
5. Saidina Ali r.a. berkata, "Iman itu didirikan daripada empat tiang: Pertama, yakin iaitu ma'rifat yang muktamad. Kedua, sabar iaitu sabar menghadapi segala kesakitan dan kesusahan dan sabar di dalam usaha menjauhi maksiat dan kejahatan. Ketiga, jihad atau perang Sabilillah atau memerangi nafsu syahwat dan menentangnya. Keempat, adil kepada seluruh rakyat dan seluruh orang Mukmin."
Mengenai hakikat sabar, Imam Ghazali Rahimallahu Ta'ala berkata:
Ketahuilah bahawa sabar itu tersusun daripada tiga perkara;
[Pertama]: ILMU, iaitu mengetahui bahawa sabar itu ada kepentingan agama dan faedah-faedah yang bermanfaat di dunia dan di akhirat. Dengan mengetahui yang demikian itu seseorang akan bersifat sabar.
[Kedua]: HAL, iaitu sikap hati yang sabar menghadapi susah-payah melakukan ibadat, susah-payah meninggalkan perbuatan maksiat, susah-payah meninggalkan syahwat atau keinginan yang keterlaluan terhadap perkara-perkara yang mubah atau yang diharuskan dan bersabar menanggung kesakitan bala dan kesusahan hidup. Ini akan memudahkan seseorang itu bersifat sabar dan mengamalkannya tidaklah sukar apabila telah bersifat dengannya.
[Ketiga]: BERAMAL, iaitu berperangai dengan sabar yang menyebabkan hatinya tidak merasa susah setiap kali menghadapi bala atau menghadapi kesusahan tanpa merasa keberatan, berbeza daripada martabat yang kedua tadi yang mana kesabaran dirasakan amat berat.
Wallahua'lam...
Dipetik dari Kitab Siyarus Salikin (Juz 4), karangan Syeikh Abdus Samad Al-Jawi Al-Palembani, Bab Kedua, Mengenai Sabar dan Syukur

No comments:
Post a Comment