Daripada Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a. bahawa keduanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya, "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Dia menjawab, "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya, "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya Allah 'Azzawa Jalla berfirman, Apabila Aku menguji seseorang daripada hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu dia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya dia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa dia dilahirkan oleh ibunya - bersih daripada segala kesalahan," dan Tuhan Tabaraka wataala berfirman kepada malaikat penulis amal itu, "Aku telah mnegikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa dia berkeadaan sihat."
Nampak, bukankah setiap musibah itu menyimpan laba yang dijanjikan? Jadi, kita tidak perlu terlalu susah hati dengan sifir kehidupan yang kurang menjadi. Setelah penat berusaha, masih pada kehidupan yang tidak sempurna, teruskan saja sebab ganjaran yang telah disediakan Allah pasti ada di samping, mana tahu kalaulah keuntungan yang sedang menanti itu hanya memerlukan sedikit saja usaha lagi?
Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak ada seseorang Islam yang ditimpakan sesuatu yang menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musim yang tertentu)." - Abdullah bin Mas'ud r.a.
Luaskan skop pemikiran agar kita lebih faham tujuan hidup. Tiada kajian saintifik yang lebih penting bagi manusia selain kajian terhadap otaknya sendiri. Seluruh pandangan kita terhadap alam semesta bergantung kepadanya. Maka itu, bersihkanlah otak kita sentiasa daripada anasir-anasir yang mahu memberikan kita pendirian baru terhadap kehidupan dan ketuhanan, kerana semua yang berlainan darpada itu pasti akan berakhir dengan perkataan 'rugi'.
Yakinlah bahawa apa jua kesusahan yang terpaksa dilalui, anggaplah bahawa segala itu sekadar dugaan di dunia sahaja. Dia Yang Maha Adil dan Bijaksana pasti telah mengatur yang terbaik buat semua hamba-hamba-Nya. Usah dikesalkan andai nasib kita kurang baik daripada nasib orang lain, kerana kita tidak tahu apa yang bakal menanti di penghujungnya nanti.
No comments:
Post a Comment