Ini suatu kitab pada menyatakan sunat bersugi (maka sunat ia) pada tiap-tiap kelakuan dan terlebih muakkadnya tatkala hendak membaca Quran (dan) tatkala hendak sembahyang dan tatkala berubah bau mulutnya dan tatkala terjaga daripada tidur dan tatkala kuning-kuning gigi (dan sunat) pula tatkala hendak tidur dan tatkala ambil wudhuk dan membaca hadis dan tatkala hendak berzikir dan tatkala hendak masuk Ka'bah dan tatkala masuk seseorang kepada rumahnya dan tatkala hendak jima' dan pada ketika lapar dah dahaga dan tatkala hendak mati dan dikatakan bahawasanya ia memudahkan keluar roh dan tatkala hendak musafir dan tatkala datang daripadanya dan lainnya seperti barang yang tersebut dalam kitab yang panjang-panjang melainkan kemudian daripada gelincir matahari bagi orang yang puasa tiada sunat bahkan makhruh ia sama ada puasa fardhu atau sunat dan hilang makhruhnya dengan jatuh matahari (dan) memilih oleh Imam Nawawi akan ketiadaan makhruh mutlaqan sama ada dahulu daripada gelincir matahari dan kemudiannya (dan sunat) bersugi dengan tangan kanan dan mulakan dengan pihak kanan mulutnya dan dilalukan dia atas langit-langit dengan perlahan-lahan dan atas gusi-gusi dan gigi dan lidah (maka fadhilat) bersugi amat banyak (setengah) daripadanya dua rakaat sembahyang dengan bersugi terlebih baik daripada tujuh puluh rakaat dengan tiada bersugi (dan setengah) daripadanya bersugi itu meredhakan bagi Tuhan dan menyucikan mulut dan membaikkan baunya dan menambahkan akal dan mencerahkan mata dan melambatkan tumbuh uban dan membetulkan belakang dan menggandakan pahala dan mengingatkan kalimah syahadah tatkala hendak mati (maka barangsiapa) tiada kuasa bersugi pada segala waktu yang tersebut dahulu itu maka hendaklah ia bersugi pada sehari semalam sekali.
Waaahhh..semput hakak nak habeskan bacaan bab bersugi nih. Huuuu..tarik nafas dulu~~~
Haaaa...begitulah kiranya apa yang tertulis mengenai bersugi dalam kitab yang dinamakan dia Mutlaal Badrin wa Majma'al Bahrin pada muka surat 15 & 16 - di bawah topik Hukum-hukum Thoharoh (Kesucian dalam Islam).
Pening tak? Bole faham tak? Oke, kalau pening & tak berapa nak faham, teruskan membaca ringkasan kat bawah ni. Moga-moga lepas ni kita semua akan lebih rajin untuk menggosok gigi bagi mendapatkan fadhilat / kelebihan-kelebihan yang dijanjikan daripada amalan ini..
Waktu-waktu Disunatkan Bersugi: (bersugi = gosok gigi la senang cakap...)
- Bila mahu membaca al-Quran
- Bila mahu menunaikan solat
- Bila berubah bau mulut
- Bila bangun daripada tidur
- Bila rasa gigi dah tak lagi bersih akibat makan kek berkrim/coklat/eskrem/makan kari/minum air manis dan yang semisal dengannyer yang menjadikan gigi bertukar jadi kuning
- Bila mahu masuk tidur
- Bila mahu mengambil wudhuk
- Bila hendak membaca hadis
- Bila hendak berzikir
- Ketika hendak masuk ke dalam Ka'bah
- Bila masuk rumah
- Bila mahu melakukan jima' (persetubuhan) - bagi yang sudah berkahwin
- Bila rasa lapar dan dahaga/haus
- Tatkala hendak mati - dikatakan akan memudahkan keluarnya roh dari jasad
- Bila mahu bermusafir
Kaifiat / Cara-cara Bersugi:
- Sunat dilakukan dengan menggunakan tangan kanan
- Mulakan dengan membersihkan bahagian kanan dalam mulut
- Membersihkan langit-langit dengan perlahan-lahan
- Membersihkan gusi
- Membersihkan gigi
- Merbersihkan lidah
Fadhilat / Kelebihan Bersugi:
- 2 rakaat solat orang yang bersugi terlebih baik daripada 70 rakaat solat orang yang tidak bersugi
- Bersugi memudahkan kita mendapat redha Allah (Allah redha dengan orang-orang yang bersugi)
- Bersugi merupakan amalan yang bagus untuk sentiasa mengekalkan kebersihan dan mengelakkan bau mulut yang tidak enak
- Bersugi boleh mencergaskan akal
- Bersugi juga boleh mencerahkan mata
- Melambatkan tumbuhnya uban
- Membetulkan belakang badan
- Menggandakan pahala
- Mengingatkan (memudahkan) kita mengucap dua kalimah syahadah ketika menghadapi sakaratul-maut
Notakaki: Boleh jugak rujuk artikel pasal bersugi ni kat SINI.

No comments:
Post a Comment