29.11.09

Keajaiban Jodoh & Cinta

Apakah tujuan kita mahu mendirikan rumah tangga impian?
Adakah kerana cinta, harta, rupa, pangkat atau agama? Kadangkala persoalan ini ligat bermain di minda kita. Kadangkala koreksi yang teramat dalam membuatkan kita menjadi fobia tentang perkahwinan. Ada kala persoalan ini rancak bermain di fikiran sehinggakan kita terfikir sesuatu; semakin kuat kita memikirkan tentang jodoh, terasa ia bertambah jauh!

Rasulullah bersabda, "Apabila berkahwin seseorang, dia melengkapkan separuh agamanya. Maka, hendaklah dia bertakwa pada selebihnya."

Jodoh adalah keajaiban yang diciptakan oleh Allah sebagai nikmat buat para hamba-Nya. Allah berfirman: (Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan(pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah Asy-Syuura: 11)

Mengapa jodoh dianggap pelik dan ajaib? Ajaib yang dimaksudkan ini ialah betapa kita berasa takjub dengan kejadian Allah terhadap jodoh. Kadang kala kita berasa pelik mengapa ada wanita yang cukup cantik, tapi lambat jodohnya. Malah, ada antara rakan taulan yang tiba-tiba sahaja memberikan undangan untuk ke majlis perkahwinannya.

Terdapat segelintir lelaki yang kaya harta, tetapi masih tidak beristeri. Ada juga insan yang bertemu jodoh dengan pasangan luar negara atau benua lain. Bahkan ada juga yang berjodoh dengan orang yang berbeza ras atau warna kulitnya. Inilah kehebatann yang Allah mahu tunjukkan kepada kita hamba Allah yang dhaif dan lemah ini. Bagi yang masih belum berjumpa jodoh, bersabarlah. Sesungguhnya Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

"Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya." (Surah An-Nur: 33)

Istana Bahagia atau Penjara Dunia?
Ramai yang faham bahawa perkahwinan adalah langkah untuk mengelakkan maksiat. Benar, ini adalah kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Islam menganjurkan kita berkahwin, antara sebab lain adalah untuk mengelakkan maksiat. Islam menegah kita berpacaran sebelum diikat dengan pernikahan. Perhubungan yang terlalu bebas mengundang bahaya kepada agama, maruah, keturunan, akal dan harta kita.

Namun, sebaliknya minda manusia telah dicorakkan Barat, bagi mereka, untuk mencari keserasian, pasangan kekasih perlu tinggal serumah sekali dan tidur sekali. Bagaimana pula nasibnya apabila tidak bertemu keserasian?

Tiada istilah try & error dalam perkahwinan.


Walaupun seribu orang datang membantu, tetapi hanya Allah s.w.t. yang dapat memberi jalan penyelesaian terbaik!

1 comment: