20.12.12

Mencari Bahagia

Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Hibban ada menyebut beberapa unsur yang mendatangkan kebahagiaan dan penderitaan kepada manusia. Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya:

"Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan ialah wanita (isteri) solehah, rumah yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan yang selesa. Dan empat perkara yang mendatangkan kesengsaraan iaitu isteri yang berakhlak buruk, jiran tetangga yang jahat, kenderaan yang buruk dan rumah yang sempit."

  1. Isteri solehah
    Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik wanita (isteri) adalah yang menggembirakan kamu sewaktu kamu melihatnya, patuh apabila kamu menyuruhnya (dalam perkara kebaikan) serta menjaga dirinya dan harta milikmu semasa ketiadaanmu di rumah."
  2. Rumah yang selesa
    Allah s.w.t. berfirman dalam surah An-Nahl ayat 80 yang bermaksud: "Allah menjadikan rumahmu sebagai tempat ketenangan."
    Suasana rumah yang selesa penting untuk merehatkan tubuh badan setelah berpenat lelah dengan pelbagai kegiatan di luar rumah. Jiwa akan berasa lebih lapang jika rumah yang bukan sahaja luas, tetapi bersih dan cantik. Bayangkan sekiranya rumah dalam keadaan kotor dan berselerak, jiwa akan turut berasa sempit dan sesak.
    Rasululullah s.a.w. juga menyuruh kita untuk menjaga rumah dan persekitaran agar sentiasa bersih, dalam sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu baik dan suka kepada perkara yang baik. Dia juga bersih dan suka kepada perkara yang bersih. Dia juga dermawan dan sangat suka kepada orang yang dermawan. Oleh sebab itu, bersihkan halaman rumah dan janganlah kamu menyerupai orang Yahudi."
  3. Jiran yang baik
    Allah s.w.t. menyuruh kita berbuat baik dengan jiran, maksudnya: "Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta jiran tetangga yang dekat dan jauh." (Surah an-Nisa, 4:36)
    Jiran yang baik akan membuatkan kehidupan kita bahagia dan selamat. Jiran tersebut akan sentiasa bersedia membantu sekiranya dia berada di dalam kesusahan. Jika dia mendapat nikmat, jirannya akan turut gembira.
     
  4. Kenderaan yang selesa
    Kenderaan yang selesa tidak semestinya mahal dan baru, tetapi bersih, tidak rosak, selesa dan boleh digunakan dengan baik. Orang yang tidak memiliki kenderaan sudah tentu sukar untuk bergerak. Apabila kita mempunyai kenderaan yang baik, maka segala urusan akan menjadi lancar.
Sumber: Majalah SOLUSI Isu No. 50 | Tip Nabawi | Ust. Mohamad Wahid Abdul Hanif

No comments:

Post a Comment