"Bolehkah kamu perdengarkan bacaan al-Fatihah kamu kepada ustaz sebentar? Sekadar mahu mendengarnya." pinta ustaz Solah.
"Ulp! Ustaz... saya fikir perkara ini masih terlalu awal..Saya cadangkan ustaz..."
"Saya tahu apa yang saya mahu. Jika tidak keberatan, saya ingin mendengar bacaan al-Fatihah kamu." jelas ustaz Solah dengan nada yang tegas. Daniel tidak menduga ustaz Solah akan berbuat begini. Sangkanya soalan itu akan berkaitan dengan gaji dan keuntungan syarikat. Ternyata hal itu berlaku sebaliknya, kali ini dia terpinga-pinga. Lain yang ditunggu lain pula yang berlaku.
"Tapi...ustaz, pentingkah bacaan itu? Saya malu untuk bacakan." Daniel meminta kelepasan.
"Bacaan itu teramat penting untuk mengukur sejauh mana keutuhan tiang agama dalam hidup kamu. Kerana al-Fatihah itu adalah surah terawal di dalam al-Quran dan dibacakan dalam setiap rakaat solat. Kegagalan membacanya dengan baik akan mencacatkan solat. Sesiapa yang mencacatkan solat bererti amalannya sukar untuk makbul. Akhirnya kegagalan solat itu akan menjadikan hidup mudah ditimpa masalah, jiwa lemah dan menyukai maksiat." jelas ustaz Solah. Mata Daniel berkesip-kesip mendengar jawapan itu.
"Bolehkah Daniel bacakan surah al-Fatihah sahaja?" pinta ustaz Solah.
"Ustaz...saya rasa ustaz terlalu membesarkan perkara kecil. Kenapa ustaz tidak bertanya soalan-soalan jenis lain. Seperti sumber rezeki dan jawatan semasa. Mahukah ustaz saya ceritakan?"
"Tidak perlu ceritakan. Pandangan kita berbeza. Hanya yang beragama, menjaga solat dan istiqamah dengan amal soleh pasti akan mendapat keredaan Allah. Saya tiada soalan lain untuk ditanya. Saya fikir apa yang saya mahu tahu sudah terjawab. Jawapan untuk hubungan ini juga sudah terang lagi bersuluh." jelas ustaz Solah. Daniel menarik nafas lega.
"Jadi?" tanya Daniel segera.
"Saya fikir Raihan tidak akan bersedia untuk menjadi isteri kepada lelaki yang tidak berani membacakan al-Fatihah."
"Ulp!" Daniel telan air liur.
"Malah saya fikir Daniel tidak akan mampu mendidik anak saya sebagaimana saya mendidiknya." ustaz Solah memberitahu dengan jujur. Dia tidak mahu lagi berlapik. Daniel gigit bibirnya. Kalam ustaz Solah itu sedikit mengguris hatinya.
Ustaz Solah menyambung kata, "Ustaz minta maaf jika membuatkan hati Daniel tersinggung. Tapi kebenaran itu perlu dinyatakan sekalipun pahit untuk ditelan. Apa yang saya minta Daniel bacakan tadi adalah ketetapan Allah. Semua Muslim perlu menguasai bacaaan al-Fatihah dan itu adalah ketetapan Allah. Bukan ketetapan ustaz. Jika Daniel gagal melakukannya, bererti Daniel gagal memenuhi ketetapan Allah."
"Saya fikir, masih ada banyak ruang untuk memperbaikinya." Daniel cuba menyedapkan hatinya.
"Baguslah. Kamu wajib perbaikinya mulai sekarang. Ini bukan sekadar al-Fatihah, ia merangkumi banyak aspek. Agama itu ialah akhlak yang baik, ia akan berdiri dalam jiwa seseorang apabila tiang agamanya kukuh. Tiang agama ialah solat. Al-Fatihah pula syarat utama untuk memastikan kesahihan solat seseorang. Tanpa al-Fatihah, solat seseorang akan rapuh, lalu tiang agama akan runtuh, pekertinya akan lumpuh. Orang yang lemah solatnya lemah imannya." jelas ustaz Solah.
Daniel tersipu-sipu mendengar kalam itu. Baru dia sedar betapa dia jauh meninggalkan kefahaman Islam dan hidup dalam dunai kebendaan.
Sumber: Gen-Q Isu 12 | Kisah Bersiri Mahar yang Makbul, Siri 12..
No comments:
Post a Comment