4.2.11

Abang, bila mahu masuk meminang?

"Jangan tunggu lama-lama,
Nanti lama-lama,
Dia diambil orang~"


Hari ni, Jumaat, 4 Februari 2011, ada 3 orang kawan saya menjadi tunangan orang..tapi ketiga-tiga jemputan ini tidak dapat saya penuhi sebab kerja; on-stand-by. Almaklumlah cuti Raya Cina ni, kene la bagi Chinese ofismates beraya so that nanti bila tiba Raya Puasa, saya boleh beraya dengan senang hati.

1. Fifi Shafinaz - kawan masa kat SMKABP & Matrik Tangkak
2. Nor Adila Ruhani - kawan sekampung main pondok-pondok
3. Nor Fadzilah - kawan satu tempat keje sekarang; Scope PJ

Saya tumpang gembira untuk mereka. Mengharap giliran saya akan tiba sebelum usia menginjak dua-puluh-tujuh. Moga Allah temukan saya dengan jodoh yang serasi, InsyaAllah...

Kali ni nak share pasal perancangan perbelanjaan untuk melangsungkan perkahwinan. Dipetik dari buku "Rancang Wang dari Sekarang" tulisan Pakdi, Pengasas Komuniti BicaraJutawan.com.. Mudah-mudahan ada manfaatnya bagi kengkawan yang membaca..

"Semoga Allah memberkatimu, adakanlah walimah (majlis kenduri kahwin) walaupun hanya dengan menyembelih seekor kambing." - Hadis Riwayat Bukhari.

Seperti kebiasaan, kebanyakan orang muda yang baru habis belajar memikirkan pula pasal perkahwinan. Semasa di zaman belajar dahulu sudah berkasih-kasihan. Dapat pula pasangan yang sebaya. Sekiranya tunggu lama-lama nanti diambil orang pula.

Apabila sebut pasal perkahwinan, sudah tentu perlu ada duit majlis dan juga hantaran. Mengadakan majlis kenduri kahwin adalah perkara yang sangat dianjurkan sekalipun hanya dengan menyembelih seekor kambing seperti yang disebut dalam hadis di atas. Namun, budaya perkahwinan di Malaysia kosnya adalah lebih besar daripada sekadar menjamu seekor kambing.

Menjamu orang makan bukan satu perkara kecil dan hari ini belanja kahwin yang diperlukan pun bukan satu jumlah yang rendah. Mari kita lihat apa yang perlu disediakan beserta anggaran perbelanjaannya. Anggaran perbelanjaan yang ditanggung oleh pengantin adalah:

Kos 1: Mas Kahwin

Mas kahwin atau mahar wajib diberi kepada pengantin perempuan. Daripada sudut hukum, pengantin lelaki dibolehkan berhutang. Namun, siapa yang berhutang, isteri mempunyai hak menolak ajakan suami bagi 'bersama' buat kali pertama sehingga hutang mas kahwin habis dibayar.

Secara hukumnya juga, mas kahwin juga tidak semestinya wang ringgit. Namun di Malaysia, majlis-majlis agama negeri telah menetapkan jumlahnya secara umum. Pengantin lelaki perlu tahu jumlah yang ditetapkan di negeri pengantin perempuan.

Walaupun mengikut undang-undang negeri, jumlahnya mas kahwin yang standard tidak besar, tetapi ia adalah perkara wajib yang mesti disediakan bagi berkahwin.

Anggaran kos= Berbeza mengikut negeri. (Saye anak Johor, mas kahwinnya RM22.50. tapi saye rase nak mintak bende lain sebagai mas kahwin bila nikah nanti..hihi)

Kos 2: Duit Hantaran

Duit hantaran ini lebih kepada adat. jumlahnya selalu bergantung kepada keluarga dan status pengantin perempuan. Ada yang dijumlahkan berdasarkan taraf pendidikan, status dara atau janda dan juga berdasarkan hantaran yang telah diterima oleh kakak atau adik perempuan mereka yang telah berkahwin terlebih dahulu.

Ada keluarga menjadikan duit hantaran sebagai belanja hangus. Belanja hangus ini adalah perbelanjaan kenduri di tempat pengantin perempuan. Namun ada juga keluarga memberikan kesemuanya kepada pengantin perempuan. Satu sen pun tidak diambil.

Anggaran kos= RM10,000

Kos 3: Barang Kemas

Cincin, rantai tangan, rantai leher dan pelbagai lagi. Kosnya berubah-ubah mengikut harga pasaran emas. Siapa yang melangsungkan perkahwinan waktu harga emas tengah melonjak tinggi dia terpaksa berbelanja lebih.

Ada pengantin perempuan cukup dengan sebentuk cincin. Ada juga yang mahukan cincin dan rantai. Bergantung kepada citarasa pasangan masing-masing.

Anggaran kos= RM3,000 - RM5,000

Kos 4: Lain-lain Barang Hantaran

Kasut, baju, kek, buah, telekung, al-Quran, sirih, coklat dan jam tangan. Ada juga pasangan pengantin yang menghadiahkan telefon bimbit, komputer riba, konsul permainan dan lain-lain. Walau bagaimanapun barang sebegitu tidak dikira sebagai barang hantaran yang biasa dibuat orang.

Anggaran kos= RM1,000 - RM2,000

Kos 5: Set Pakaian Nikah

Kebiasaannya pakaian ini ditempah. Boleh dipakai semasa hari raya yang pertama sebagai pasangan suami isteri. Baju perempuan lebih bercorak dan bersulam, manakala baju lelaki lebih ringkas. Sudah tentu pakaian pengantin perempuan adalah lebih mahal. Maklumlah, hari istimewa ini bagi kebanyakan orang adalah satu hari sahaja seumur hidup.

Anggaran kos= RM800 - RM1,500

Kos 6: Set Pakaian Bersanding (Baju Pengantin)

Pakaian ini selalunya disewa. Ada pasangan yang cukup sekadar satu set sahaja bagi dipakai. Ada pasangan yang menyediakan lebih daripada satu set pakaian. Set tradisional ada, set ala barat pun disediakan sama.

Anggaran kos= RM1,500 - RM3,000

Kos 7: Mekap

Kebiasaannya kos andam mengandam ini dimasukkan dalam pakej tempahan set pakaian bersanding. Namun masih ada yang menyediakan khidmat ini secara berasingan.

Anggaran kos= RM200 - RM500


Kos 8: Set Pelamin

Set pelamin ini juga selalunya disediakan bersama set pakaian pengantin dan mekap sekaligus. Namun kita masih tiada masalah bagi mendapatkan set pelamin sahaja.

Anggaran kos= RM500 - RM1,000

Kos 9: Jurugambar

Hari istimewa sebagai raja sehari selalunya dirakam secara istimewa bagi koleksi kenang-kenangan sehingga ke anak cucu. Sudah tentu khidmat jurugambar khas diperlukan bagi merakam detik-detik istimewa sebegini. Dalam hidup mungkin hanya sekali sahaja.
[creditsss to Eera Shee; suka gamba ni!]

Anggaran kos= RM1,000 - RM3,000

Kos 10: Bayaran bagi Jurunikah dan Saksi


Sila rujuk dengan pejabat agama daerah tempat kita bakal melangsungkan pernikahan. Jurunikah ini yang menguruskan pendaftaran nikah kita dengan pihak majlis agama.

Anggaran kos= RM150

Kos 11: Kad Jemputan

Ada yang murah dan ada yang mahal. Zaman serba canggih ini menyaksikan jemputan perkahwinan disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas, e-mel, laman web dan rangkaian web sosial. Namun masih ada rakan, saudara-mara dan jemputan ibu bapa kita yang masih memerlukan kad jemputan.

Anggaran kos= RM500 - RM3,000

Apa yang dikongsikan ini adalah kos yang selalunya ditanggung oleh pengantin sahaja dan tidak membabitkan perbelanjaan dari pihak keluarga.

Jumlah (mengikut anggaran kos terendah)= RM18,650

Berikut pula adalah kos yang selalunya ditanggung bersama oleh keluarga (tetapi tidak semestinya). Oleh itu, sekiranya ibu bapa minta kita bayar juga, harus juga dibayar. Ini adalah perkahwinan kita.

Kos 12: Duit Sewa Khemah atau Sewa Dewan

Bagi pihak perempuan yang menggunakan konsep belanja hangus, ia ditanggung sebahagiannya oleh duit hantaran. Sewa khemah pula adalah lebih murah daripada menyewa dewan. Namun tidak semua orang ada halaman rumah yang sesuai bagi kenduri.

Anggaran kos= RM2,500 - RM10,000

Kos 13: Duit Katering

Bagi pihak perempuan yang menggunakan konsep belanja hangus, ia ditanggung sebahagiannya oleh duit hantaran. Masak sendiri adalah lebih murah daripada khidmat katering. Namun, lebih banyak menggunakan tenaga kerja. Sekiranya kita masih tinggal di kampung, selalunya masih ada tenaga kerja yang diperlukan.

Anggaran kos= RM10,000 - RM20,000

Kos 14: Bilik Pengantin

Katil, cadar, tilam, almari dan langsir. Ada keluarga yang mempunyai bilik pengantin khas. Selagi tiada pasangan adik-beradik lain yang berkahwin, pengantin baru akan terus menghuni di situ. Walau bagaimanapun kita yang perlu menyediakan kesemuanya dan kosnya tidak murah.

Anggaran kos= RM1,500 - RM5,000

Kos 15: Buah Tangan

Gula-gula, telur, sapu tangan, kek, puding dan lain-lain. Ia disertakan sekali dengan bunga telur dan juga beg khas.

Anggaran kos= RM1,500 - RM3,000

Kos 16: Perjalanan bagi Bertandang

Ada orang jodohnya dekat. Ia tidak menjadi masalah besar. Cuba bayangkan sekiranya kita tinggal di selatan, dan pasangan kita berasal dari utara. Duit minyak, duit tol, duit hotel atau homestay dan duit makan.

Kita minta saudara-mara bersama-sama memeriahkan majlis istimewa kita, namun bukan semua mereka ada kenderaan sendiri dan cukup wang bagi menemani kita sekiranya tidak disediakan duit tol dan duit minyaknya sekali. Itu adalah antara sebab mereka menolak pelawaan kita dengan memberikan pelbagai alasan.

Anggaran kos= RM500 - RM 2,000

Jumlah (mengikut anggaran kos paling rendah)= RM16,000

Kos 17: Kecemasan

Adakalanya duit yang digunakan terlebih daripada belanjawan asal. Sediakan wang tunai sekitar 5% - 10% daripada jumlah belanjawan asal. Sekiranya perbelanjaan mencecah RM20,000, sekurang-kurangnya kita perlu menyediakan duit kecemasan sebanyak RM2,000 bagi hal-hal yang tidak terduga.

REALITI: Perkahwinan di Malaysia adalah tinggi kosnya.

Secara kasar kos yang diperlukan bagi satu perkahwinan yang sederhana adalah sekitar RM38,000 - RM40,000.

Jumlah ini belum dicampur kos-kos ubah suai rumah. Ia juga belum dicampur kos memanjakan diri ke spa-spa, perbelanjaan bagi berbulan madu dan pelbagai kos sampingan lain yang adakalanya dibelanjakan tanpa disedari.


Apakah tindakan kita bagi mengadakan wang secukupnya bagi berkahwin?

Adakah kita ingin berhutang sahaja bagi membolehkan kita melangsungkan perkahwinan?

2 comments:

  1. terbuntang bijik mata dok tengok figure $$

    tapi btol la..memang tu pon kos utk adakan majlis..

    **nanges..korek tabung ayam..

    ReplyDelete
  2. huhu..mana nk carik duet ni? haha. :P

    ReplyDelete