22.1.11

Ikan Puyu

Hari itu, seekor anak ikan puyu terperangkap di dalam bubu. Tiada yang lain, hanya ia seekor. Lalu saya masukkan ia ke dalam balang kaca berisi air bersama rumpainya. Puyu kecil tadi saya tunjukkan kepada Mak Wa yang sedang sibuk menampi padi di atas jerangau di tengah bendang.

Kata Mak Wa, "Bubu serta umpan yang kecil layaknya mendapat ikan kecil. Jika mahu menangkap ikan besar, umpannya perlu besar. Bukan di sini, tetapi di lautan. Siapkan kelengkapan. Perlu ada ilmu untuk menangkapnya."

Mutiara kata penuh hikmat untuk cucu-cucu perempuan Mak Wa!

Namun, semasa kecil, saya tidak begitu memahami maksud kata-kata Mak Wa. Saya bertanya berbagai-bagai soalan sehingga Mak Wa diam.

"Tidak baguskah ikan kecil Mak Wa?"

"Bagus. Tetapi ia kecil. Tidak cukup puas untuk seorang makan."

"Ikan besar lebih bagus?"

"Ya. Lebih banyak yang dapat menumpang makan. Cukup untuk makan sekeluarga."

"Ooo..."

"Maksudnya, sekiranya kita ingin mencari pasangan yang berjawatan besar, kita juga mesti belajar sepandai orang besar itu."

"Orang besar pandai belajar ya, Mak Wa?"

"Ya. Mereka bersekolah tinggi. Di maktab, di universiti."

"Ooo..."

Mak Wa bercerita perkara yang sama berulang kali setiap kali bubu tangkapannya terjerat ikan keli, sepat atau puyu. Falsafah ikan puyu itu berlarutan dalam dalam konteks yang berbeza apabila tangkapannya lebih banyak daripada biasa. Sambil membantu menyiang ikan, Mak Wa bercerita;

"Ikan kecil umpannya kecil sahaja. Cuma guna bubu."

"Untuk dapat ikan besar, umpan pun kena besarkan, Mak Wa?"

Mak Wa menjeling sahaja. Dia tahu cucunya masih belum faham apakah maksud sebenar yang beliau ingin sampaikan.

"Ikan kecil kita perlu menyiangnya dengan banyak dan berkali-kali. Ikan besar, siang seekor sahaja sudah mencukupi."

"Tahu... saya tahu. Sudah banyak kali Mak Wa cakap begitu."

Itulah Mak Wa. Nenek tua yang beradat. Sesuai dengan asal usulnya yang berasal dari Negeri Sembilan. Mak Wa juga kuat beribadat. Tangannya sentiasa memegang tasbih. Suka bekerja. Tutur katanya penuh dengan kelembutan. Bersalut kiasan. Berlapik bidalan.

Dapatkah saya menangkap ikan besar?

[Petikan dari Travelog Cinta Abadi: Masa yang Berlalu, Roza Roslan]

No comments:

Post a Comment