3.12.10

Jarak Antara Hati


Apabila ada marah di hati dua insan, hati mereka semakin jauh jaraknya antara satu sama lain. Usaha untuk mengurangkan jarak dicuba dengan menjerit. Semakin kuat rasa marah, semakin kuat suara.

Ketika jarak antara hati semakin jauh lantaran kasih sayang yang terhakis dan ruang kosong kasih sayang itu dirasai sebagai rasa marah, maka tindakan yang terbaik adalah kembali mendekatkan hati kepada Allah.

Hanya Allah al-Jami' yang Maha Menghimpunkan mampu mendekatkan jarak antara hati dan menyatukan hati-hati manusia. Allah al-Jami' yang Maha Menghimpunkan semua manusia bukan sahaja pada hari kiamat, tetapi juga di dunia ketika manusia masih dalam tugasan sebagai khalifah dan hamba.

Tiada satu pun ikatan yang paling kukuh antara hati melainkan yang terikat dengan akidah dan keimanan yang kukuh, tepat dan benar terhadap Allah ar-Rahman, ar-Rahim dan al-Jami'.

"Ya Allah, berikan kami kekuatan untuk berzikir mengingati-Mu dengan fikiran, lisan dan tindakan agar hati kami tiada jarak dengan-Mu. Dengan berkat dekatnya hati kami dengan-Mu, maka tidak ada juga jarak antara hati kami sesama manusia."

"Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Jami'... kami mohon anugerah-Mu. Penuhilah hati kami dengan kasih sayang sehingga tiada ruang untuk bergejolaknya api kemarahan agar apapun kesilapan dan kelemahan kami sebagai hamba serta makhluk yang lemah, tidak akan menjauhkan jarak antara hati kami. Semoga tegur-menegur dan nasihat-menasihati antara kami di jalan kebenaran mendekatkan hati kami kepada-Mu sentiasa dalam pimpinan-Mu. Andai terluka dan menjarak juga hati antara kami, satukanlah ya Allah. Berikan kami kesabaran ketika merasakan kesakitan dari jarak hati yang menjauh. Amin."


[Sumber: Terapi Hati, ANIS 160, Disember 2010]

No comments:

Post a Comment