Perigi cari timba... Wah, hebatnya perumpamaan ni! Tapi apa bendanya perigi tu? Menurut Kamus Dewan, perigi ialah tanah yang dikorek untuk mendapatkan sumber air bersih yang digunakan pada zaman datuk nenek kita dahulu. Jadi, perigi itu sifatnya tidak bergerak walau dengan apa cara sekalipun.
Ditarik, ditolak, diumpil... ia tetap tidak akan bergerak. Sesiapa yang nak perigi tu, datanglah bawa timba. Nak suruh perigi tu yang datang, minta maaflah.
Jadi, inilah perumpamaan yang popular digunakan oleh masyarakat kita untuk menggambarkan usaha-usaha pihak perempuan membuka mulut untuk mencari jodohnya sendiri. Usaha ini memang tidak akan menjadi dan memang akan gagal seratus peratus.
Kenapa? Sebab kita sendiri yang menggagalkannya! Kenapa pula kita nak samakan usaha murni mereka itu dengan perigi?
Oleh sebab peribahasa 'perigi cari timba' ini sudah menjadi stigma sosial berdekad-dekad lamanya dalam institusi masyarakat kita, memanglah susah ia hendak dipulihkan. Apa pun, cuba-cubalah kita belajar lari dari tradisi ini...
Maka, apa yang patut dibuat ialah pihak lelaki perlu lebih peka dengan setiap 'sign' atau 'signal' yang datang daripada pihak perempuan yang sifatnya 'indirect', berlapik, berselindung dan macam-macam 'ber' lagi.
Tapi kalau tak faham bahasa 'sign'/isyarat (atau saja-saja buat tak faham), maka berlalulah 'sign' itu dibawa angin. Bagi orang yang macam ini, saya hendak ingatkan, "TOLONG JANGAN MAINKAN PERASAAN PEREMPUAN." Kalau ada 'sign-sign' macam tu, berilah reaksi atau berterus-teranglah. Sebaik-baiknya gunakan perantaraan orang ketiga. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu tertunggu-tunggu dan kalau gagal pun, dia boleh cuba yang lain.
Satu hal yang paling penting untuk adik-adik perempuan kita yang berhasrat untuk mempraktikkan perumpamaan 'perigi cari timba' ini ialah dia kena 'letakkan dirinya dalam kasut' sang teruna idaman tu. Maknanya, dia kena cari sebab kenapa teruna itu patut berkenan pada dia. Sesuaikah dia? Cantikkah dia? Agamanya macam mana? Ini semua adalah persoalan yang sering diambil kira oleh si teruna sebelum dia membuat keputusan. Selama ini asyik pihak perempuan saja yang ada kuasa autoriti untuk buat keputusan sama ada mahu menerima atau menolak lamaran si teruna. Haa..sekarang giliran lelaki pula buat keputusan.
Nasihat saya pada adik-adik perempuan semua, usah takut atau bimbang. Kalau pun adik-adik tidak cukup cantik atau kerja yang tidak seberapa, ada satu perkara yang adik-adik boleh baiki dan inilah yang sering diberi perhatian utama oleh keluarga lelaki iaitu agama. Agama adalah aset paling penting untuk kesejahteraan rumahtangga. Oleh itu, tingkatkanlah kualiti agama untuk memulakan langkah. Selamat mencuba!
Sumber: 'I LOVE YOU TOO!!' - Badrul Hisham Shari, Galeri Ilmu, Mac 2009

No comments:
Post a Comment