4.9.10

Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati tak siapa yang tahu.

Kegembiraan, kemeriahan, keindahan, kesyahduan, kesyukuran dan pelbagai lagi rasa hati dan perasaan, letaknya di hati kita. Pelbagai kalimat ini, memerlukan hati yang lapang untuk menampungnya. Jika sempit hati, bagaimana mampu menampung segala perasaan tersebut?

Antara perasaan yang yang memberatkan hati dan menyempitkan jiwa ialah kemarahan. Api kemarahan, apabila marak akan membakar segala ruang yang diperlukan dalam dada seseorang.

Pepatah Melayu ada berkata: "Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati tak siapa yang tahu."


Memberi kemaafan adakalanya lebih berat daripada memikul batu di bahu. Lebih-lebih lagi jika hati telah keras membatu, bersalut dengan dendam dan kebencian. Jangan biarkan hati kematu membatu. Leburkan ego dan kemarahan, terutama pada saat menjelang lebaran yang mulia.

Lapang Jiwa
Kemaafan akan membuka pintu kelapangan dalam jiwa. Jiwa pemaaf akan mengecap kelapangan perasaan terhadap saudara yang lain. Kelapangan perasaan adalah rahsia kebahagiaan hidup insan. Insan yang pemaaf akan menikmati kelapangan jiwa, hati dan perasaan. Kelapangan hati inilah rahsia kelapangan hidup sebenar.

Kemaafan juga membuka pintu kelapangan di alam barzakh. Alam kubur akn sempit, jika kesempitan itu diwarisi dari dunia ini lagi. Jiwa yang sempit dikhuatiri membawa ke kubur yang sempit juga. Justeru, lapangkan kubur kita dengan melapangkan hati untuk memberi kemaafan.

Kemaafan juga membuka pintu keberkatan hidup. Keberkatan hidup menjana kelapangan rezeki. Rezeki yang berkat akan melapangkan hidup. Hutang akan berkurangan, pendapatan akan bertambah dan keselesaan akan tersebar.

Sebaliknya hati yang tidak memaafkan akan terkena panahan kesakitan. Sakit hati yang tidak akan pulih, kedukaan akan meliputi dan kegelisahan akan merundung diri. Terbakar hati akan memakan diri, membungkam jiwa, memudarkan seri wajah dan menghakis amal kebaikan.

Padamkan Marah dan Dendam
Hulurkan kemaafan, panjangkan tali silaturrahim, eratkan ikatan hati dan padamkan api kebencian. Benamkan kebencian, tanamkan benih kasih sayang, suburkan perpaduan dan tingkatkan keyakinan sesama insan.

Hidup ini terlalu sunyi untuk dilalui bersendirian, justeru janganlah mencipta musuh dan lawan sepanjang jalan. Tabahlah dalam menempuh ranjau dan onak perjalanan, kerana ketabahan membawa harapan untuk tiba kepada sasarannya.

Kelapangan hati juga perlu dikongsi bersama kerana semakin dikongsi, kelapangan akan berganda-ganda. Inilah keajaiban hati. Hati yang lapang, semakin diberi, semakin bertambah kelapangannya. Maka hulurkan kemaafan kerana ia faktor kelapangan hati.

Allah Maha Pemaaf
Al-Afuw atau Maha Pemaaf adalah antara nama dan sifta Allah s.w.t. yang mulia. malulah kita kepada Allah, jika kita gagal menjadi pemaaf. Allah yang mencipta, mengatur dan mentadbir alam ini pun, masih emberi kemaafan kepada hamba-hamba-Nya yang melakukan kesalahan, apatah lagi kita yang serba kerdil dan lemah ini.

Tingkatkan kualiti diri kita dengan menjadi seorang pemaaf. Orang yang pemaaf akan disenangi mereka yang ada di sekelilingnya. Memberi kemaafan, lebih berharga dan dihargai daripada memberi wang dan material. Wang akan cepat habis, tetapi kemaafan yang diberi, ibarat benih yang baik, akan menumbuhkan pohon kasih sayang dan persaudraan.

Kasihilah diri kita dengan memberi kemaafan kepada saudara yang lain. Kemaafan lambang kasih sayang dan kasih sayang yang tulus akan melapangkan ruang kehidupan.

Kepada yang masih berperang dengan kemarahan, kebencian dan dendam, fikirlah jauh-jauh. Dendam dan marah tidak membawa apa-apa, selain kesakitan dalam jiwa. Maka berilah kemaafan, terutama pada saat gembira menyambut Hari Raya ini. Sebarkan kemaafan, ia menambah seri Aidilfitri.

[Sumber: SOLUSI 23 - Cerna Minda oleh IR. AHMAD JAIS ALIAS]

No comments:

Post a Comment