16.2.10

Takdir ALLAH Mengatasi Segala-galanya

Seseorang perlu menyedari bahawa sesuatu itu telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T sejak dia berada dalam perut ibu lagi. Hal itu berlaku kepada hamba-hamba-NYA.

Ibn Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya setiap kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari. Kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu ALLAH mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara: iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya sama ada bahagia atau celaka. Demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-NYA, sesungguhnya sekiranya ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sekalipun sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka, nescaya selepas itu dia akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seseorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga, maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya.” - Hadis sahih isnadnya menepati syarat syaikhan dan diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Maha suci ALLAH hanya kepada-NYA kita kembali dan memohon perlindungan daripada takdir yang buruk serta pengakhiran yang tidak baik.

Sesungguhnya kita hendaklah berasa bimbang dan takut bahawa kita tidak termasuk di kalangan mereka yang terpilih untuk mendapat hidayah dan kebaikan. Berusahalah meminta dan memohon kepada ALLAH S.W.T tanpa henti dan tangguh supaya dimasukkan ke dalam golongan yang mendapat hidayah dan takdir yang baik.

Berikut ialah perkara yang perlu dilakukan berhubung dengan masalah takdir ini:

1) Memperbanyakkan doa dan amalan soleh serta meninggalkan maksiat juga melaksanakan apa yang diperintahkan.

"Tiada suatu pun yang dapat menolak takdir selain doa.” - Hadis sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya. Disepakati kesahihannya oleh al-Zahabi.

Hendaklah juga memperbanyakkan amalan soleh seperti sedekah. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Anas bin Malik r.a. Beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan al-Rabb (ALLAH)." - Hadis Hasan riwayat Tirmizi no. 664.

2) Bersabar, bersangka baik terhadap ALLAH, mengharap rahmat-NYA dan tidak berputus asa dalam menghadapi segala derita yang menimpa. Diiringi perasaan takut dan harap pada rahmat dan kasih sayang-NYA.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon (berbaik sangka) terhadap ALLAH.” - Hadis sahih riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi.

3) Bertawakal kepada ALLAH selepas berusaha melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya menurut pertunjuk ALLAH dan rasul serta menyerah kepada takdir ALLAH S.W.T dengan penuh keredhaan dan lapang dada berserta yakin.

“Sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH akan menyediakan baginya jalan keluar (daripada kesusahan) dan memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka olehnya.” - Surah Thalaq : 2 - 3.

Sumber: e-Book "Panduan Mencari Pasangan Hidup" – Ustaz Emran

No comments:

Post a Comment